IKATAN DAN SIMPULAN
1.0 MAKLUMAT BAHAN BANTU MENGAJAR
Tajuk pembelajaran yang dimuatkan dalam bahan bantu mengajar iaitu ikatan dan simpulan. Terdapat lapan sub topik dalam bahan bantu mengajar ini iaitu objektif, pengenalan, simpulan manuk, simpulan buku sila, simpulan tindih kasih, simpulan rama-rama, situasi penggunaan dan kesimpulan.
1.1 OBJEKTIF
Di sepanjang pengajaran dan pembelajaran, pelajar-pelajar dapat :
Psikomotor :
Melakukan ikatan dan simpulan Tindih Kasih, Manuk, Rama-Rama dan Buku Sila dengan teknik dan cara yang betul.
Kognitif :
Menyatakan secara lisan fungsi dan kegunaan ikatan dan simpulan mengikut situasi tertentu dengan betul.
Afektif :
Menunjukkan sifat bekerjasama dan kesungguhan dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.
1.2 PENGENALAN
Simpulan dan ikatan telah digunakan sejak berabad-abad lamanya. Sukar di kesan, siapakah yang mula-mula menggunakan simpulan dan ikatan ini. Dipercayai penduduk Mesir menggunakan tali lebih kurang 5000 tahun yang lepas. Dianggarkan terdapat lebih kurang 3000 jenis ikatan. Tali digunakan pada sepanjang masa, tempat dan keadaan, seperti pelabuhan, penggunaan khas, perhiasan dan kegiatan luar. Terdapat empat definisi yang perlu diketahui tentang simpulan dan ikatan.
i. Simpulan (knotting)
Biasanya simpulan menggunakan tali yang kecil dan sederhana saiznya. Digunakan pada benda-benda kecil dan sederhana. Contoh simpulan seperti buku sila, tindih kasih, simpul himpit dan lilit dua simpul.
ii. Ikatan (lashing)
Ikatan digunakan untuk mengikat kayu, buluh, tiang, dan papan untuk membuat jambatan, tiang bendera, menara dan sebagainya. Contoh ikatan seperti ikatan seraya, ikatan serong, ikatan silang gunting dan lilit balak
iii. Sambat (splicing)
Sambat digunakan untuk menyambung dua tali dan membuat sesuatu peralatan. Menyambung dua tali dengan menggunakan sambat adalah baik dan selamat semasa digunakan. Contoh sambat seperti sambat balik, sambat pendek dan sambat mata.
iv. Mematikan hujung tali (whipping)
Seseorang pengakap tidak menggunakan tali sebelum tali itu di matikan. Ia bertujuan supaya tali tidak terburai di hujungnya. Contoh ikatan seperti lilit pemati biasa, lilit pemati selit dan sambat balik.
1.3 SIMPULAN MANUK
Ikatan ini digunakan untuk mengikat tali pada kayu balak, tiang atau pancang.• Ia berfungsi sebagai permulaan dan penamat atau untuk mematikan ikatan seraya, ikatan silang gunting, ikatan lantai, ikatan silang nombor lapan. Ikatan ini juga digunakan untuk membuat gejet.
1.4 SIMPULAN BUKU SILA
Simpulan buku sila digunakan untuk menyambung dua utas tali yang sama besar dan merupakan simpulan yang tegap serta tidak mudah lucut. Ia juga digunakan untuk mengikat benda-benda kecil seperti mengikat layar kapal, bungkusan, mematikan simpulan pada anduh, dan mengikat khemah yang dilipat.
1.5 SIMPULAN TINDIH KASIH
Simpulan tindih kasih digunakan untuk membuat tanjul yang tidak boleh mencerut. Ia juga digunakan untuk kerja-kerja menyelamat iaitu dengan cara mengikatkan tali pada pinggang. Simpulan ini berperanan sebagai penghubung kepada tali sebagai contoh mendirikan ampaian, penyambung kepada khemah.
1.6 SIMPULAN RAMA-RAMA
Simpulan ini dianggap sebagai suatu simpulan yang paling selamat, kuat, dan mudah terikat. Simpul ini mudah terikat di tengah sebuah tali apabila anda tidak memiliki tambatan akhir. Jika ikatkan simpulan rama-rama ini di hujung tali, ikatkan sebuah stopper knot bebas (contohnya simpulan angka no.8) ke hujung tali untuk memastikan keselamatan.
1.7 SITUASI PENGGUNAAN
Pelajar dikehendaki membentuk kumpulan yang mengandungi lima orang dalam satu kumpulan. Setiap kumpulan dikehendaki membuat gajet seperti rak kasut, tempat pinggan mangkuk, ampaian atau lain-lain gajet mengikut kreativiti kumpulan. Gajet yang dibuat perlu menggunakan kemahiran simpulan dan ikatan yang telah dipelajari.
1.8 KESIMPULAN
Secara kesimpulan ikatan dan simpulan dapat dibahagikan kepada beberapa penggunaannya seperti mendaki, kehidupan seharian, memancing, seni, pengakap, mencari dan menyelamat serta bidang perkapalan dan sebagainya.
Rujukan: http://cikguwanupsi.blogspot.com/2011/03/bahan-bantu-mengajar-ikatan-dan.html
Dikemaskinikan oleh: Yazid Maliki
Tiada ulasan:
Catat Ulasan