Diolah dari pelbagai sumber oleh: Mohd Hilmi Abu Bakar
Pengasas Pengakap, Lord Baden Powell (BP) lahir di dalam sebuah
keluarga yang terlibat secara intensif di dalam aktiviti marin dan
kelautan. Kematian bapanya ketika berusia 3 tahun menyebabkan Lord BP
menjadi begitu rapat dengan datuk di sebelah ibunya, Laksamana William
Smyth. Datuknya memulakan kerjaya sebagai tentera laut bermula dari
bawah dan berjaya menjadi laksamana pada 1863. Abang kepada Lord BP
iaitu Warington Baden Powell yang lebih tua 10 tahun daripadanya
memulakan kerjaya sebagai "Merchant Marine".
Warington Baden Powell adalah pengasas kepada pelayaran keno dan
menulis sebuah buku bertajuk “Canoe Travelling: and practical hints on
building and fitting canoes”. Beliau menjalani latihan kelautannya di
HMS Conway selama 3 tahun sebelum menyertai Hotspur pada 1864.
Warington Baden Powell, abang kepada Lord Baden Powell yang membantu mengasaskan Pengakap Laut
Warington menyertai HMS Conway pada 1861 ketika berusia 14 tahun. HMS
Conway adalah bekas kapal tentera laut yang berlabuh secara kekal dan
digunakan sebagai tempat latihan. Sekitar tahun 1872, Lord BP dan
abang-abangnya membuat ekspedisi menjelajah negaranya menggunakan keno.
Mereka berkeno menuju ke arah punca sungai Thames hingga tiba di Wales.
Dalam ekspedisi ini, mereka berkhemah dan memasak makanan menggunakan
unggun.
Warington menukar pekerjaannya ke bidang undang-undang pada 1873 dan
diterima menjadi King Counsel. Beliau memulakan usaha merekabentuk dan
mengawai pembinaan kapal layar miliknya yang dinamakan Diamond.
Terdapat banyak faktor mengapa Lord BP mengadakan perkhemahan Pengakap
yang pertama di Pulau Brownsea. Namun yang pasti, Pulau Brownsea
membolehkan para peserta menaiki bot dan mengalami perjalanan di laut.
Dalam tahun 1908, lencana “seaman badge” adalah antara lima lencana
kemajuan terawal yang dikeluarkan untuk ahli Pengakap. Lord BP sering
menekankan bahawa “seorang Pengakap hendaklah tahu mengendalikan bot dan
membawanya bersebelahan dengan kapal secara selamat”.
Pada 1909, perkhemahan Pengakap yang ketiga diadakan Beaulieu River
dan memberi penekanan kepada aktiviti-aktiviti air. Perkhemahan di
Beaulieu menyedarkan Lord BP tentang potensi dan peranan Pengakap Laut.
Oleh itu, beliau mengamanahkan kepada abangnya Warington untuk menulis
buku panduan tentang Pengakap Laut. Warington telah membentangkan
ideanya tentang Pengakap Laut di dalam Kursus Pemimpin Pengakap di
London pada Januari 1911.
Sebaik sahaja Pengakap Laut diumumkan, banyak pasukan Pengakap
terutamanya di kawasan pantai mahu bertukar kepada skim baru ini. Ramai
bekas pelayar dan pelaut yang berminat untuk menjadi Pemimpin Pengakap
Laut. Antara pasukan-pasukan awal Pengakap Laut di England ialah:
- 1st Cleethorpes
- 1st Ratcliffe, London
- 1st Skegness
- Hamble Sea Scouts
- Gibraltar Sea Scouts
Warington Baden Powell telah mengeluarkan buku panduan untuk
Pengakap Laut bertajuk “Sea Scouting and Seamanship for Boys” pada
tahun 1912.Di dalam bukunya, Warington menyatakan dengan jelas bahawa:
“Pengakap Laut adalah cabang kepada pergerakan Pengakap” &
“Pengakap diutamakan dahulu, selepas itu barulah pelaut” (Scout first,
Seaman afterwards)
Undang-undang, organisasi, lencana, pangkat, pakaian seragam dan nasihat tentang latihan dinyatakan dengan jelas:
"Pengawal pantai atau pesara tentera laut akan digunakan untuk
menguji lencana. Adalah dinasihatkan supaya setiap kumpulan melantik
seorang "bapa laut" (sea dad) iaitu sama ada pengawal pantai, bekas
pegawai tentera laut atau kelasi kapal nelayan.
Buku panduan Pengakap Laut yang kedua ialah “Seamanship for Scouts”
yang ditulis oleh Lt. Stuart Garnett pada 1915 di mana buku ini adalah
lebih mendalam berbanding buku pertama. Warington Baden Powell
meninggal dunia pada 24 April 1921 akibat penyakit tuberculosis.
Dipercayai bahawa penyakit ini menghalang beliau memegang jawatan
sebagai Chief Sea Scouts.